1. MENGHUJAM PANDANGAN MATA
MATA adalah
pintu hati yang mengungkap kandungan hati dan membongkar segala rahsianya. Mata
lebih mampu menyampaikan daripada lidah pada ketika pandangan sedang bertatap
secara berhadapan atau merenung gambar. Sedangkan lidah berupa ucapan yang
membuat kaku untuk berkata-kata saat hati merasai debar dan goncang. Oleh itu,
tidak heran jika kita melihat pandangan orang yang sedang jatuh CINTA selalu
tertuju kepada orang yang diCINTAi sehingga tidak sudi memandang manusia lain
kerana hatinya disulami rindu yang membara.
2. MALU JIKA ORANG YANG
DICINTAI MEMANDANGNYA
Merasa malu
kepada orang yang diCINTAi apabila merasa dipandang dan diperhatikan sehingga
tunduk dengan perasaan yang gelisah. Ini didorong oleh rasa keagungan dan
kedudukan orang yang diCINTAi di dalam hatinya. Sifat ini sebagai satu adab
yang memelihara diri dari kelakuan kurang sopan. Selain itu dapat menghalang
dari dorongan nafsu yang membawa kepada perkara mungkar dan maksiat.
3. SENTIASA MENGINGATI ORANG
YANG DICINTAI, MEMBICARAKAN, DAN MENYEBUT NAMANYA
Sesiapa yang
menCINTAi sesuatu atau seseorang, akan sentiasa mengingatinya dengan hati atau
menyebutnya dengan lidah di sepanjang hidupnya. Kerana itu, Allah SWT
memerintahkan hamba-NYA agar mengingati-NYA selalu. Tanda CINTA SEJATI adalah
mengingati dan menyebut nama orang yang diCINTAi ketika senang atau susah. Dia
ingat dan menyebut diri orang yang diCINTAi dengan hati atau dengan lidah pada
pertama kali bangun dari tidur dan berakhir kali saat menjelang tidur. Hal ini
muncul dari dorongan yang kuat dalam jiwa orang yang jatuh CINTA.
4. TUNDUK KEPADA PERINTAH
ORANG YANG DICINTAI DAN MENDAHULUKANNYA DARIPADA KEPENTINGAN DIRINYA SENDIRI
Tanda CINTA
adalah penyatuan kehendak orang yang menCINTAi dan yang diCINTAi. Penyatuan ini
merupakan tanda CINTA SEJATI kerana kehendak mereka menjadi satu, sama dan
serasi. Tidak bertentangan dan tiada perbedaan. Orang yang menCINTAi akan
berusaha memenuhi kehendak orang yang diCINTAi sehingga mengenepikan
kepentingan diri sendiri agar yang diCINTAi merasa selamat, aman dan bahagia.
Keadaan manusia yang diCINTAi Allah SWT lebih tinggi daripada keadaannya
menCINTAi Allah SWT. Oleh itu, tunduk kepada kehendak yang diCINTAi merupakan
intisari CINTA yang tinggi dan tidak berbelah bagi. Subhanallah.
5. BERSABAR MENGHADAPI GANGGUAN ORANG YANG
DICINTAI
Bahkan
kesabaran di hadapan orang yang dicintai harus berubah menjadi ketaatan
kepadanya. Kesabaran dalam menghadapi kederhakaannya dan melaksanakan
keputusannya merupakan kesabaran orang yang mencinta. Ia dilakukan dengan
sukarela, penuh tabah dan ingin membahagiakannya. Sedangkan kesabaran yang
disertai dengan pemaksaan adalah kesabaran yang kosong dan palsu. Coba
menghindari diri dan tidak senang di hati. Sesiapa yang sabar menghadapi
gangguan orang yang dicintai, boleh mengakibatkan kehilangan apa yang sedang
menjadi perhatiannya saat itu. Dia akan sabar mendengar, menunggu dan
memastikan keperluan orang yang dicintai dipenuhi.
6. MEMPERHATIKAN UCAPAN
ORANG YANG DICINTAI DAN MENDENGARKANNYA
Hatinya
sentiasa ada tempat untuk mendengar dan memerhati segala ucapan dan
perkataan yang diluahkan oleh yang dicintai. Berusaha untuk memahami dan
mengertikan apa yang dibicara tanpa rasa lelah. Jika ada perhatian terhadap
sesuatu yang lain, semuanya dirasakan karena terpaksa. Tumpuan hati dan perasaannya
hanya kepada yang dicintai. Walaupun yang dibicarakan sangat sedikit
tetapi ia mengesan hati dan jiwanya. Selalu berusaha untuk mengingat dan tidak
pernah lupa walaupun masa lama berlalu.
-181085-
“Tidak ada sesuatu yang paling
disukai oleh orang yang sedang jatuh cinta selain dari mendengarkan ucapan atau
mengingatkan perkataan tentang sesuatu yang dicintai kerana memang itulah yang
dicarinya.”
-181085-
7. MENCINTAI TEMPAT DAN
RUMAH ORANG YANG DICINTAI
Orang yang
mencintai akan berusaha untuk mendekati rumah kekasihnya. Ingin tahu di mana
tempat rumahnya. Setiap yang menjadi perhatian kepada yang dicintai akan
diusahakan dengan pelbagai cara untuk mencapainya supaya segala maklumat
terkumpul dan memudahkan urusannya. Dia ingin tahu segala-gala tentang
kekasihnya. Perjalanan yang jauh dan panjang akan terasa dekat, menjadi ringan
dan menyenangkan. Segala ancaman bahaya dan kesukaran tidak menjadi halangan
bagi dirinya. Walaupun berjauhan, mengetahui tempat pun sudah mencukupi
baginya jika belum sampai ke sana.
8. SEGERA MENGHAMPIRI YANG
DICINTAI
Apa sahaja
jalan yang boleh membawanya kepada yang dicintai akan diusahakan agar sentiasa
berdekatan sama ada melalui telpon, SMS, email, chatting, berkirim surat atau
bertemu dengannya. Hatinya akan rasa gelisah jika tidak mengetahui khabar
berita dan keadaan yang dicintai. Siapapun yang coba menghalang jalannya tidak
akan dipedulikan. Kesibukannya ditinggalkan dan menyukai apapun jalan yang
dapat mendekatkannya sehingga hatinya tenteram dan damai.
9. MENCINTAI APAPUN YANG
DICINTAI ORANG YANG DICINTAI
Apa-apa yang
disukai dan dicintai dari sesuatu atau seseorang yang ada kaitannya
dengan orang yang dicintai sama ada ibu bapa, adik beradik, sahabat, tempat,
pekerjaan, kerjanya, pakaian, minat, makanan, minuman, sukan, warna, lagu,
tulisan dan sebagainya, turut menjadi kesukaan dan kecintaannya dengan senang
hati. Hal ini menjadikan dia merasa dekat dengan yang dicintai.
Begitulah
kita menyaksikan keadaan Rasulullah SAW yang sangat mencintai isteri pertamaya,
Khadijah binti Khuwailid r.a walaupun sudah lama meninggal. Semua yang hampir
dengan Khadijah akan menjadi perhatian dan kecintaan Rasulullah SAW seperti
sahabat, tempat tinggal, kenangan dan sebagainya sehingga menimbulkan rasa
cemburu kepada Siti Aisyah r.a.
10. JALAN YANG DITEMPUH
TERASA PENDEK SEKALIPUN PANJANG SAAT MENGUNJUNGI ORANG YANG DICINTAI
Orang yang
mencintai tidak merasa bahawa masa berlalu dengan pantas saat mengunjungi orang
yang dicintai. Perjalanan yang ditempuh serasa pendek dan cepat berlalu.
Perjumpaan baik secara berhadapan atau melalui media menjadi singkat sedangkan
sudah bersama dalam masa yang lama. Lima jam rasa tiga puluh minit, sehari rasa
satu jam, sebulan rasa sehari. Apabila telah selesai segalanya, masa terasa
sangat lama untuk kunjungan semula. Hati tidak sabar untuk pertemuan yang akan
datang.
11. SERBA SALAH JIKA SEDANG
MENGUNJUNGI ORANG YANG DICINTAI ATAU SEDANG DIKUNJUNGI ORANG YANG DICINTAI
Kalau yang
dicintai sedang mengunjungi atau dia sendiri berhasrat untuk mengunjunginya,
perasaan serba salah akan muncul secara drastis. Gelombang hatinya membuat deburan
yang amat dahsyat. Gemetar jiwa tidak mampu menahan tingkah yang mempamerkan
keresahan. Jika tidak berusaha mengawal diri, akan tampak nyata dari setiap
tutur kata yang tidak tersusun indah, sukar untuk bersuara tenang, apa yang
dilakukan semuanya serba salah. Kita maklumi, orang yang sedang bercinta
mempunyai kegembiraan dan kebahagiaan tersendiri saat bertemu dengan orang yang
dicintai. Bererti berpisah merupakan seksaan baginya.
12. TERKEJUT DAN GEMETAR
KETIKA BERHADAPAN DENGAN ORANG YANG DICINTAI ATAU KETIKA DISEBUT NAMANYA
Degupan
jantungnya berdetak kuat kerana terkejut melihat yang dicintai, tiba-tiba
muncul di hadapan. Tingkah laku menjadi kaku dan menghasilkan peluh dingin.
Tidak tahu bagaimana harus menyapa dan memulakan kata. Apabila melihat yang
dicintai menghampiri dan menegur, seluruh tubuh merasai gegaran dan tidak
berkuasa untuk menahan. Ingin sekali menjauh diri dan lari dari situasi. Ada
ketika, bila disebut nama kekasih, hatinya jadi gemetar tidak keruan. Ia
terhasil disebabkan kekasih menguasai hatinya sehingga darah mengalir dari
hati, lalu menjadi dingin dan mengakibatkan gemetar. Memang sukar untuk
mendapat jawaban bagi mengkaji masalah perasaan.
13. CEMBURU KEPADA ORANG YANG
DICINTAI
Cemburu
kepada yang dicintai adalah tanda CINTA yang wujud pada diri setiap yang
mencinta. Sifat cemburu akan terserlah jika kekasihnya dijahati, disakiti dan
dirampas haknya. Dia tidak akan mengabaikan kesejahteraan dan kebahagiaan
kekasihnya. malah akan berusaha mempertahankannya. Jika hatinya tidak memiliki
cemburu, bererti hatinya tidak memiliki CINTA. CINTAnya hanya dusta semata dan
hatinya dingin walaupun secara lahir dia menuturkan kata CINTA. Harus ingat,
cemburu buta akan membawa padah kepada yang dicintai sehingga sanggup untuk
menganiaya dan menyakitinya. Berhati-hati dalam mengawal perasaan cemburu
kecuali cemburu dalam masalah agama.
14. BERKORBAN UNTUK
MENDAPATKAN KEREDHAAN ORANG YANG DICINTAI
Orang yang
sedang bercinta, seharusnya rela berkorban menurut kesanggupannya demi
keredhaan orang yang dicintai daripada hanya sekadar menikmati CINTA
semata-mata. Cinta yang semakin kuat dan kukuh, akan melakukan pengorbanan
dengan suka rela dan penuh keredhaan. Jika CINTA sudah semakin mantap tertanam
di dalam hatinya, maka pengorbanannya sudah menjadi tuntutan dan permintaan
yang seakan-akan harus diambilnya dari orang yang dicintai. Jika perlu, dia
sanggup berkorban nyawa, harta, waktu dan uang demi orang yang dicintai. Dalam
hal pengorbanan terhadap CINTA, yang lebih berhak untuk memperoleh pengorbanan
itu adalah Allah SWT dan Rasul-NYA.
15. MENYUKAI APAPUN YANG
MENYENANGKAN ORANG YANG DICINTAI
Jika ada
sesuatu yang membuat kekasihnya benci walaupun dia menyukai, dengan senang hati
dia meninggalkan. Begitu juga, jika ada sesuatu yang disukai kekasihnya
walaupun dia benci, dengan mudah dia menuruti. Adapun orang yang berkeras
menyukai apa yang dibenci kekasihnya, itu bukan CINTA SEJATI tetapi CINTA CACAT
sehinggalah dia menyukai apa yang diredhai kekasihnya. Inilah keadaan orang
yang mencintai Allah SWT yang disertai dengan cinta selain Allah. Akhirnya dia
akan rasa menyesal dan rugi. Setiap CINTA yang dibina selain dari Allah
akan membawa penyeksaan atas dirinya. Oleh itu, lakukanlah sesuatu yang disukai
kekasih selagi ia tidak membawa kepada menyekutukan Allah SWT.
16. SUKA MENYENDIRI
Orang yang sedang bercinta juga suka menjauhi orang
lain. Seakan-akan cintanya menyebabkan dia berkelakuan seperti itu. Tidak ada
yang lebih indah dan manis bagi orang yang jatuh cinta dengan CINTA SEJATI
selain dari menyendiri. Dia hanya ingin bersama dan berlama-lama dengan orang
yang dicintainya tanpa gangguan daripada orang lain dan akan marah jika ada
orang lain yang mengganggunya.
Selain itu,
orang yang sedang jatuh cinta merasa nyaman jika menyebut kekasihnya dan bagian
dengan keberadaan kekasih di dalam hatinya. Tidak ada sesiapa yang mampu
mengganti kedudukan yang dicintainya. Kesendirian orang yang yang bercinta
bersama kekasihnya merupakan tujuan dari angan-angannya untuk hidup bersama.
Jika tidak tercapai, dia boleh menyendiri dengan rahsia hati di sepanjang
hidupnya tanpa pernah mahu melupakan. Itulah CINTA SEJATI.
17. TUNDUK DAN PATUH KEPADA
ORANG YANG DICINTAI
Sesungguhnya
CINTA itu didasarkan kepada ketundukan. Selagi ketundukan dan cinta sudah
bersenyawa dan sehati, maka hiduplah jiwa penghambaan sehingga hati orang yang
jatuh cinta menjadi hamba dan patuh kepada setiap perintah dan larangan
kekasihnya. Namun peringkat ini tidak berlaku kepada manusia. Ia hanya berlaku
bagi Allah swt.
18. BERNAFAS PANJANG DAN
LEBIH KERAP
Helaan nafas
ada dua jenis iaitu (1) kana susah dan sedih dan; (2) karena gembira dan senang
hati. Penyebab kedua-dua helaan nafas ini adalah kerana penyempitan dan
pembengkakan hati sehingga menimbulkan helaan nafas panjang di mana keadaanya
yang menekan paru-paru. Helaan nafas ini menunjukkan seseorang dalam keadaan
yang sedang tertekan.
Manakala
helaan nafas senang karena hatinya sedang mengembang lebih besar dari biasa
sehingga mendorong udara di dalamnya, lalu mencari jalan keluar yang
menghasilkan kelegaan. Orang yang mencinta selalu mengalami rasa tekanan
terhadap orang yang dicintainya. Rasa bimbang, cemburu dan gelisah selalu
membuat dia kerap bernafas panjang. Pelbagai perkara dalam memastikan
hubungan percintaan sentiasa baik dan kekal membuatnya tidak tenteram.
Banyakkan berzikir dengan Allah agar hatimu menjadi tenteram.
19. MENGELAKKAN PERKARA YANG
MERETAKKAN HUBUNGAN
Orang yang
sedang jatuh cinta akan melakukan apa saja yang boleh mendekat dan mengekalkan
hubungannya dengan yang dicinta. Dalam keadaan ini, banyak perkara pelik dan
aneh dapat dilihat, yang dilakukan orang yang sedang bercinta. Ramai di antara
mereka sanggup meninggalkan suatu makanan, pakaian, tempat tinggal,
pekerjaan, minat atau keadaan tertentu kerana perkara tersebut tidak disukai
orang yang dicintai sehingga dia tidak akan melakukannya lagi. Orang yang
mencinta selalu mencari kelebihan dan keutamaan yang bisa mengangkat
kedudukannya di mata kekasih. Dia bersemangat untuk berusaha membuat kekasihnya
semakin mencintai dirinya.
20. ADANYA KESESUAIAN DAN
KESERASIAN ANTARA ORANG YANG MENCINTAI DAN YANG DICINTAI
Yang lebih
membahagiakan apabila cinta itu tumbuh bersemi karena ada kesesuaian dan
keserasian antara dua pihak. Sering berlaku orang yang mencinta, jatuh sakit karena
orang yang dicintai juga jatuh sakit dan berbuat seperti yang diperbuatnya
sedangkan kedua-duanya tidak mengetahui dan menyadari keadaan masing-masing.
Begitu juga, dari pengucapan sesuatu perkataan. Jika orang yang dicintai
mengucapkan sesuatu perkataan, lalu pada kesempatan yang lain orang yang
mencintai mengucapkan perkataan yang sama sedangkan mereka tidak tahu
pengucapan tersebut.
Keserasian
selalu memudahkan hubungan yang rapat antara orang yang sedang bercinta dalam
banyak aspek kehidupan. Kesesuaian semakin kuat, seolah-olah orang yang
mencintai mengetahui dengan banyak keadaan orang yang dicintai sekalipun mereka
berada berjauhan. Ini sekedar hubungan kehendak dan tujuan hati sehingga
keinginan mereka berdua sama dan serupa. Jika keserasian itu disertai dengan
kesesuaian rupa, maka itu dinamakan keserasian paling sempurna. Wallahu’alaam.
-181085-
CINTA BANYAK MEMBEBANI ORANG YANG MENCINTAI BERBANDING
ORANG YANG DICINTAI
-181085-
Salam,
DE@Humaira
-181085-
Namun
perlu INGAT….
Tiada
CINTA yang PALING BERHARGA dan PALING TINGGI melainkan MENCINTAI ALLAH
SWT dan RASULULLAH SAW. Cintailah manusia berasaskan cinta abadi kepada Allah
dan Rasulullah. Pasti cinta kita akan dirahmati dan dikagumi. Persis cintanya
Hawa kepada Adam a.s , cinta Siti Zulaikha kepada Yusuf a.s, cinta Balqis
kepada Sulaiman a.s, cinta Siti Khadijah kepada Muhammad SAW dan cinta Siti
Fatimah Azzahra kepada Ali...
“RAUDHAH AL-MUHIBBIN WA NUZHAH AL-MUSYTAQIN”, --IBNU al-QAYYIM al-JAUZIYAH--