Lukmanul Hakim dikenali sebagai manusia
yang sering meninggalkan peringatan serta manfaat menerusi kata-katanya. Beliau
merupakan seorang ayah yang sentiasa menasihati anaknya dengan kata-kata
berhikmah. Dan kata-kata itu adalah wajar diambil iktibar oleh kita semua.
Pernah suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar
ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya
dengan berjalan kaki. “Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil
dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keledai,” kedengaran suara dari
sekumpulan manusia yang melihat mereka.
” Wahai anakku, dengarkah
engkau apa yang mereka perkatakan itu?” tanya Lukmanul Hakim kepada
anaknya.
“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Sekarang engkau naiklah ke
atas keledai ini, biar ayah menariknya,” katanya sambil mengangkat
anaknya ke atas belakang keldai.
“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai
mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keledai
sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan manusia lain
yang mereka temui di tengah, perjalanan.
“Dengarkah engkau apa yang
mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim kepada
anaknya.
Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.
“Sekarang engkau turun dari keledai
ini, dan kita sama-sama berjalan kaki,” kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari
keldai.
Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan
sekumpulan manusia yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keledai
itu. Keledai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk
diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.
“Dengarkah engkau apa yang
mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada
anaknya lagi.
“Dengar ayah.”
“Kalau begitu marilah kita
berdua naik ke atas belakang keledai ini,”
Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar
perbualan sekumpulan orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini,
keledai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.
Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?”
“Ya ayah, saya dengar.”
“Kalau begitu marilah kita
dukung keledai ini,” kata Lukmanul Hakim
Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki,
akhirnya mereka berjaya mendukung keledai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah
mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keledai. Apabila orang
ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. “Ha!
ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keledai!”
“Dengarkah engkau apa yang
mereka katakan?” dia bertanya kepada anaknya
lagi.
“Dengar ayah,” jawab anaknya.
Mereka meletakkan keledai itu ke tanah. Beliau pun
menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah
manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan
kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan berkata.”
“Ingatlah anakku bila engkau
bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya karena mendengar
kata-kata orang lain. Yakinlah dengan diri sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”
Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya
sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. “Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang
sedap saja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi
ini.”
Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat
ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu,
fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman
rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu
dengan penuh sangsi.
“Ayahmu memang benar,” kata teman ayahnya.
Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu
bertanya, “Apakah maksud pak cik?”
“Wasiat ayahmu yang pertama
bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar,
kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang
engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya.”
“Berkenaan wasiat ayahmu yang
kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu
semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru
berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina
sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau
telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu
sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya.”
Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham
maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu.
Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul
Hakim ini, katanya satu, hikmahnya beribu.?
Kisahteladan.info
Salam,
@Humaira
No comments :
Post a Comment