Hidup Seperti Seorang Musafir : Pengajaran Ringkas Tentang Kematian




Sesungguhnya kehidupan di dunia hanyalah seperti suatu perjalanan,manusia yang beriman ibarat seorang musafir yang setiap hari akan menempuh suatu jarak perjalanan yang tertentu, tahun demi tahun,bulan demi bulan, jam demi jam dan detik demi detik yang akan membawanya sampai kepada destinasi yang ingin dituju, begitulah diibaratkan dunia seperti suatu perjalanan.Bagi orang-orang yang beriman destinasi mereka yang terakhir di dunia ini adalah perjumpaan mereka dengan Allah Ta`ala.Allah Ta`ala menceritakan marhalah[1] perjalanan manusia di dunia ini di dalam Al-Quran:
“Dan Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada); kemudian Dia mematikan kamu; (maka ada di antara kamu yang disegerakan matinya), dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah (peringkat tua kebudak-budakan), sehingga menjadilah ia tidak ingat akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” [ An-Nahl:70]

Firman Allah Ta`ala:
“Dan Allah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian Ia menjadikan kamu berpasangan (lelaki dan perempuan). Dan tiada mengandung seseorang perempuan (juga seekor betina), dan tidak pula satu-satunya melahirkan (anak yang dikandungnya) melainkan dengan keadaan yang diketahui Allah. Dan tidak diberikan seseorang berumur panjang, juga tidak dijadikan seseorang pendek umurnya, melainkan ada kadarnya di dalam Kitab Ilahi. Sesungguhnya yang demikian itu mudah sahaja kepada Allah.”      [ Faathiir:11]

Kematian merupakan sesuatu yang pasti dan akan dihadapi oleh semua jiwa, dan ia adalah satu ketetapan daripada ketetapan Allah Ta`ala ke atas setiap yang bernyawa,Firman Allah Ta`ala:
“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”     [ Ali-Imraan:185]


Kematian juga adalah sesuatu yang tidak diketahui masa, detik dan saatnya,tidak mengira masa, tempat dan usia, ia hanya diketahui hanya oleh Allah Ta`ala, firman Allah Ta`ala:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? [ An-Nisa`:78]



Alam Barzakh dan Fitnah Kubur

Di antara perhentian yang pasti dilalui oleh kita ialah alam barzakh, setiap kita akan diuji di dalam kubur dengan pertanyaan dari dua malaikat iaitulah Mungkar dan Nakir ,hal ini dijelaskan di dalam firman Allah Ta`ala:
“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”. [ Ibrahim:27]

Ayat ini dijelaskan lagi dengan As-Sunnah,yaitu hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Al-Bara` bin `Adzib radiallahu`anhuma daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam
Bersabda:
إِذَا أُقْعِدَ المُؤْمِنُ فِي قَبْرِهِ أُتِيَ، ثُمَّ شَهِدَ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ: {يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالقَوْلِ الثَّابِتِ} [إبراهيم: 27] “
Jika didudukkan seorang mukmin di dalam kuburnya dia akan didatangi (dua malaikat yang akan bertanya) kemudian dia bersaksi bahawasanya tidak ada tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, maka itulah ; “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh..” [2]

Dalam riwayat Imam Muslim dengan tambahan:
فَيُقَالُ لَهُ: مَنْ رَبُّكَ؟ فَيَقُولُ: رَبِّيَ اللهُ، وَنَبِيِّي مُحَمَّدٌ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَذَلِكَ قَوْلُهُ عَزَّ وَجَلَّ: {يُثَبِّتُ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا، وَفِي الْآخِرَةِ}
Maka akan dikatakan kepadanya: “ Siapakah Tuhan kamu?, lalu dia menjawab: Tuhanku ialah Allah, dan Nabiku ialah Muhammad Sallallahu`alaihiwasallam, maka itulah (tafsiran) bagi firman Allah `Azza wa Jalla: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh..”[3]

Kalimah yang teguh sebagaimana yang ditafsirkan oleh Nabi sallallahu`alaihiwasallam adalah kalimah tauhid yang tetap teguh di dalam hati seorang beriman dengan disertai hujjah dan dalil ketika di dunia dia berpegang teguh dengannya[4] dan di akhirat dia akan diteguhkan dengan kalimah tersebut.

Adapun orang-orang yang zalim[5] adalah mereka yang syak dan ragu-ragu dengan kalimah tauhid, maka disifatkan di dalam hadith mereka tidak akan dapat menjawab soalan dua malaikat malah mereka menjawab dengan jawaban yang penuh keraguan dan hanya mengikut apa yang disebut oleh kebanyakan manusia itulah mereka yang hanya bertaqlid ( mengikut membuta-tuli ) dalam masalah akidah dan agama mereka,mereka juga adalah orang-orang yang kejahatan mereka melebihi kebaikan mereka. Maka sebagaimana dalam hadith mereka akan diazab di dalam kubur sehinggalah jeritan suara mereka akan didengari oleh setiap makhluk kecuali manusia[6]

Begitulah antara marhalah yang akan dilalui oleh kita sebagai seorang musafir di dunia ini kerana selepas kita dimatikan dan melalui ujian di dalam kubur kita akan dibangkitkan dan akan dihimpunkan di padang mahsyar [7]akan dibentangkan catatan amalan kita seterusnya akan dihisab dan ditimbang amalan-amalan kita.


Pengajaran Dan Ibrah Daripada Kematian.


Antara persediaan,pengajaran serta ibrah yang boleh kita ambil dari kematian.

1) Mengukuhkan Akidah Tauhid dan membersihkannya daripada kesyirikan dan perkara-perkara yang boleh membatalkan atau mengurangkan kesempurnaannya,dengan mempelajari akidah yang shahih bersesuaian dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jama`ah berdasarkan Manhaj Salafussoleh.Oleh sebab itulah Nabi sallallahu`alaihiwasallam memberikan khabar gembira dengan sabdanya:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ لَا يَلْقَى اللَّهَ بِهِمَا عَبْدٌ غَيْرَ شَاكٍّ فِيهِمَا إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ
Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan(Ilah) yang berhak disembah melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah.Tidaklah seorang hamba bertemu dengan Allah sambil membawa dua kalimah syahadah tersebut dengan tanpa keraguan kecuali pasti dia akan masuk syurga.[8]

Inilah juga hikmah mengapa Nabi sallallahu`alaihiwasallam memerintahkan agar dijarkan kalimah Tauhid[9] ketika seseorang sedang nazak dan di ambang kematian sebagaimana perintah Nabi sallallahu`alaihiwasallam:
لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Ajarkanlah orang-orang yang hampir meninggal dikalangan kamu dengan kalimah tiada ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Allah.[10]


2)  Mempertingkatkan keimanan dan amal soleh kita kerana hanya dengan iman dan amal soleh yang benar akan menyelamatkan kita daripada azab kubur dan azab di akhirat kelak. Ingatlah kata-kata ulama` salaf :
الأرض لا تقدّس شخصا
Bumi (yang suci ) tidak akan menyucikan seseorang.

Maka janganlah kita berbangga jika kita belajar di tempat yang baik dan suci kerana hal itu bukanlah jaminan bagi kita untuk selamat daripada azab Allah Ta`ala, khususnya bagi sahabat-sahabat yang belajar di Madinah An-Nabawiyyah, tanggungjawab kita sangat berat dan kita juga boleh mendapat kelebihan belajar disini jika kita menggunakan nikmat ini sebaiknya begitu juga kita diancam dengan ancaman yang berlipat kali ganda jika amalan dan perilaku kita sebaliknya, sabda Nabi sallallahu`alaihiwasallam:
المَدِينَةُ حَرَامٌ مَا بَيْنَ عَائِرٍ إِلَى كَذَا، فَمَنْ أَحْدَثَ حَدَثًا أَوْ آوَى مُحْدِثًا فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Al-Madinah ini adalah haram di antara bukit Aa`ir hingga di sini( bukit thaur), sesiapa yang melakukan maksiat atau bid`ah ataupun membela pelaku maksiat dan pelaku bid`ah maka ke atasnya laknat Allah, malaikat, dan manusia keseluruhannya.[11]


3) Melaksanakan As-Sunnah dan menjauhi daripada sebarang bentuk penyelewengan baik berupa kesyirikan dan bid`ah.

Sikap kita apabila menerima berita kematian sama ada keluarga kita,anak-anak mahupun sahabat handai bukan semata-mata hanya menitiskan air mata tanda simpati dan sedih di atas kehilangan orang yang kita sayangi, apa yang Nabi sallallahu`alaihiwasallam dan para sahabat tunjukkan adalah kita mendoakan mereka dengan kebaikan,melaksanakan hak-hak mereka seperti melangsaikan hutang mereka, menguruskan jenazah dan solat, menjaga adab menjauhi perkara-perkara yang dilarang seperti ratapan dan na`yu[12] begitu juga menjauhi daripada melakukan tahlilan dan perkara-perkara yang bid`ah (direka-reka dalam agama) .

Perkara yang direka-reka yang tidak ada dalil dan sandarannya di dalam agama adalah sesuatu yang akan meghalangi kita di akhirat kelak dari meminum air dari telaga Nabi Sallallahu`alaihiwasallam , sebagaimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa`ad Radiallahu`anhu daripada Nabi sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
إِنِّي فَرَطُكُمْ عَلَى الْحَوْضِ مَنْ مَرَّ عَلَيَّ شَرِبَ وَمَنْ شَرِبَ لَمْ يَظْمَأْ أَبَدًا لَيَرِدَنَّ عَلَيَّ أَقْوَامٌ أَعْرِفُهُمْ وَيَعْرِفُونِي ثُمَّ يُحَالُ بَيْنِي وَبَيْنَهُمْفَأَقُولُ إِنَّهُمْ مِنِّي فَيُقَالُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَ
Rasulullah sallallahu`alaihiwasallam bersabda:
‘Sesungguhnya aku akan mendahului kamu di Hawd(telaga di mahsyar). Sesiapa yang melintasiku akan minum daripadanya dan tidak akan dahaga selama-lamanya. Segolongan manusia yang akan aku kenali, dan akan mengenali aku, akan datang menghampiriku. Akan tetapi suatu tembok akan muncul antara aku dengan mereka. Aku akan berkata: “Mereka adalah umatku”. Maka akan dikatakan kepadaku: “Kamu tidak tahu apakah rekaan-rekaan dalam agama yang mereka perkenalkan selepas peninggalanmu”[13]


4) Tidak tertipu dengan kesenangan dunia dan nikmat yang Allah kurniakan perlulah disyukuri dan digunakan dengan sebaiknya.

Kekayaan,pangkat,pengaruh,jawatan dan sebagainya adalah tidak kekal dan bermanfaat,yang bermanfaat hanyalah hati yang sejahtera.
Firman Allah Ta`ala:
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,
“Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); [ As-Syu`ara`: 88-89]
Abu Uthman An-Naisaburi rahimahullah menafsirkan hati yang sejahtera dalam ayat tersebut bermaksud hati yang selamat daripada bid`ah dan tenang dengan As-Sunnah. [14]
Itulah antara bekal-bekal yang perlu kita sediakan agar kita selamat dalam perjalanan kita menuju ke destinasi yang terakhir dan kita tidak tahu bila pula masa kita untuk dijemput ke sana.


Ditulis oleh:
Faqir ila Allah Jalla wa `Ala,
Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi
13 Jamadil Ula 1432H
17 April 2011
Universiti Islam Madinah An-Nabawiyyah.


[1] Marhalah ini terbahagi kepada tiga iaitulah alam dunia(dunia), Darul Barzakh( negeri barzakh), dan darul Akhirah (negeri akhirat) sila rujuk Syarh Aqidah Al-Waasitiyyah Syeikh Soleh Fauzan, m/s: 193
[2] HR Bukhari no: 1369, Kitab Al-Jana`iz Bab pada menjelaskan azab kubur.
[3] HR Muslim no: 2871
[4] Hal ini menjadi isyarat kepada betapa tingginya kedudukan tauhid dan betapa pentingnya kaum muslimin hari ini perlu kembali kepada akidah yang shahih dan menjauhi perkara-perkara yang boleh membatalkannya atau mengurangkan kesempurnaan tauhid seperti syirik,khurafat dan perkara-perkara bid`ah.
[5] Zalim di sini bermaksud mereka yang melakukan kesyirikan kerana syirik adalah kezaliman yang paling besar.sila rujuk surah Luqman ayat 13.
[6] Syarh Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Syeikh Soleh Fauzan m/s:91
[7] Silalah merujuk kitab-kitab Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah pada menjelaskan hal-ehwal dan keadaan ketika di padang mahsyar,begitu juga merujuk hadith-hadith Nabi sallallahu`alaihiwasallam yang boleh menambahkan keimanan dan meningkatkan motivasi kita untuk lebih bersedia.
[8] HR Muslim no:126
[9] Ianya juga adalah Kunci Syurga sila rujuk artikel berikut:
[10] HR Muslim no:916
[11] HR Bukhari no: 3179
[12] Dibenci melakukan al-Na’yu t’hdp mayat sprti Na’yu Jahiliah iaitu dgn menyebut kebanggaan mayat dan kesan-kesannya, dan mengelilingi manusia utk menyebarkan perkara-perkara ini”- Al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafii, 1/634
Begitu juga dimakruhkan (dibenci) menyatakan kesedihan terhadap mayat dengan menyebut nenek moyangnya, kehebatannya, dan perbuatan-perbuatannya, adapun yg wajarnya adalah memohon keampunan untuknya”. –Al-Majmu` Syarh Al-Muhazzab, al-Imam Nawawi
[13] HR Bukhari no. 585 dan Muslim no. 5682
[14] Al-Misbahul Munir Fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir m/s 87

No comments :

Post a Comment